Menjadi hamba yang benar-benar beriman memerlukan tanggungjawab dan pengorbanan. Setiap manusia tidak terlepas berusaha mencari kebenaran dalam sebuah kehidupan. Meskipun diri bergelumang dengan kebatilan lagi penuh kejahilan. Hidup ini sentiasa diuji oleh Allah mengikut denyut nadi. Selagi nyawa bersalut jasad kemahuan dan keinginan mengapai kejayaan agar menjadi kenyataan. Samada ianya bersifat sementara, ketenangan duniawi mahupun kejayaan hakiki.
Sentiasa menarik mereka yang beriman lagi tinggi takwanya sukar benar akal gersang lagi lemah ini untuk mencapainya. Banyak tenaga dan seluruh jiwa raganya dihabiskan untuk Allah dan Rasul. Mengira-ngira setiap saat yang berputar. Saat yang ada umpama emas sepuloh. Jiwa menyesal dan tinggi nilai kerugian bila luput setiap perhatian Allah. Yakin benar hamba soleh atau solehah dengan cabaran Surah Al-Asy. Setiap perkataan, perbuatan dan niat hati diberi sepenuh perhatian untuk mengabdikan diri kepada Allah. Menyesal tiada kesudahan, bagai kata orang dulu-dulu; 'terlajak kata buruk padahnya' bila jatuh dalam kabus lalai dan kelam dosa.
Sangat cinta kepada ujian kerana dapat mengecapi kesabaran. Sangat kasih kepada nikmat kerana dapat mensyukuri setiap keindahan itu. Sangat gemar kepada kesakitan kerana dapat menebus dosa-dosa yang lalu. Sangat rindu kepada mati kerana disana dapat berjumpa dengan Allah. Hidupnya ibarat barit hari. Lantas tidak sunyi lagi setiap putaran masa yang ada kusyuk tawaduk beribadat kepada Allah.
Sembahyangnya sepanjang hidup tanpa ada batasan waktu. Puasanya sepanjang tahun tanpa mengenal lapar dan dahaga. Hartanya melimpah habis ditabur untuk jalan Allah tanpa panggilan zakat atau sedekah. Hatinya tetap mengadap Baitullah tanpa mengira musim haji lagi. Seluruh kehidupan diri berjalan dan berputar mengikut paksi syariat Allah dengan kasih sayang tidak berbelah bagi kepada Allah dan Rasul.
Seluruh keyakinan hidup tiada lagi titik perhentian atau istirehat. Selagi belum mengecapi datangnya hari yakin (maut). Dunia tidak lebih dari sebuah wakaf usang. Singgah sementara menanti hujan berhenti atau perit panas mentari. Malam yang kelam ditawan habis-habisan. Siang menanti diisi khazanah rohani bukan lagi harta duniawi.
Hati mereka sangat tinggi kasih sayangnya. Mata mereka sangat bercahaya menatap kebenaran. Telinga mereka sangat gemar mendengar bacaan Al-Quran dan pengajaran hukum-hukum Allah. Tangan mereka sentiasa bermuamalat dengan kebaikan dan kebajikan. Kaki mereka berjalan menuju ke rumah-rumah Allah dan tempat menambah dekat diri kepada Allah. Mulut mereka tidak terlepas menyebut nama Allah dan bertaubat. Harapan mereka hanya satu sentiasa berhadap kepada keampunan dan keredaan Allah.
Hebatnya mereka yang berjaya dalam hidup. Namun aku terkapai-kapai mencari kebenaran. Apakah jalan dilalui benar atau batil ? Sukar akal fikiran menentukan. Kelam jahil masih tebal melilit setiap urat sendi. Kelalaian sering merentasi ujian kehidupan. Masih berselerak dengan sifat-sifat mazmumah membisik nafsu. Tinggi sungguh ujian kehidupan, walaupun kejayaan menjadi idaman dan harapan.
No comments:
Post a Comment